Pas tidak cemburu hubungan UMNO- DAP

SEPANG 3 Mei – Pas tidak pernah cemburu kepada mana-mana pihak yang bekerjasama dengan DAP, malah parti itu tidak menyimpan dendam seperti dakwaan Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, berkata kenyataan Mohamed Khaled yang menyamakan Pas tidak mampu “move on” dan cemburu terhadap hubungan UMNO-DAP, adalah dangkal dan melupakah sejarah perjuangan Islam Pas yang konsisten.

“Politik bukan medan menghalalkan apa sahaja demi kuasa. Politik ialah medan untuk mempertahankan prinsip — sesuatu yang Pas tidak pernah kompromi, walau bagaimana getir sekalipun ujian politik yang mendatang,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa, UMNO suatu ketika dahulu menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja, tetapi kini mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama.

“Maka soalnya: siapa sebenarnya yang tidak mampu “move on”? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa?,” katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi kepada kenyataan Mohamed Khaled.

Semalam, Mohamed Khaled menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang tidak dapat untuk ‘move on’ atau bergerak ke hadapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP.

Beliau berkata, atas sebab itu Pas seperti cemburu apabila melihat DAP selaku bekas rakannya itu kini berbaik dengan Barisan Nasional (BN).

Idris juga mendakwa, Mohamed Khaled cuba memutar sejarah apabila mendakwa Pas yang “mensucikan DAP” melalui kerjasama dahulu sedangkan hakikatnya kerjasama sebelum ini bersyarat, penuh peringatan dan ditegur secara terbuka.

“Apabila DAP melanggar sempadan, Pas tegas memutuskan hubungan, walaupun perlu membayar harga politik yang mahal. Sebaliknya hari ini, UMNO bersekongkol tanpa teguran, tanpa syarat dan lebih menyedihkan — tanpa prinsip.

Malah kemenangan di Ayer Kuning dijadikan hujah untuk “mensucikan” DAP dan menghalalkan kerjasama jangka panjang. Apakah politik Melayu-Islam kini diletakkan di bawah tapak kaki kepentingan jangka pendek?,” katanya.

Menurut Idris, Pas tidak perlu “move on” daripada prinsip Islam dan tidak akan menukar arah kerana tekanan atau kecaman.

“Kami “hold on” kepada perjuangan menegakkan Islam dalam ruang demokrasi, berlandaskan syura dan akhlak Islam. Kami lebih rela dicemuh kerana berpegang pada prinsip, daripada dipuji kerana menjual maruah perjuangan.

Kalau umur kita panjang kita akan lihat, nasib yang akan dihadapi oleh UMNO apabila mereka bersekongkol dengan DAP.

Kami sudah ada pengalaman, bagaimana orang Melayu tidak boleh menerima kami ketika bersama DAP. Jangka pendek ya, tapi jangka panjang tidak. Perkara inilah yang ditanam UMNO kepada orang Melayu, sejak merdeka. Pas pun mendapat tempias ketika bersama DAP,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga Idris mengimbas kembali bagaimana hubungan Pas-DAP berakhir selepas mendakwa DAP gagal memaksa Pas menggugurkan perjuangan negara Islam sebagai asas utama perjuangannya.

Katanya, DAP sendiri memutuskan hubungan dengan Pas apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri dari Barisan Alternatif (BA) pada 22 September 2001 setelah Pas enggan menggugurkan perjuangan menegakkan Negara Islam sebagai asas utama perjuangan.

Menurut Idris, di bawah kepemimpinan Almarhum Datuk Fadzil Noor, keputusan Pas adalah jelas yang tidak akan sesekali menggadaikan prinsip Islam hanya kerana desakan DAP, walaupun harga yang dibayar adalah perpecahan gabungan.

“Ketika itu Pas terap mempertahankan prinsip menegakkan Negara Islam. Kita tidak tunduk kepada DAP, apatah lagi menjilat semula ludah kita demi kuasa!,” tegasnya.

Mengenai Pakatan Rakyat (PR), Idris berkata, gabungan itu terkubur akibat
kebencian DAP terhadap perjuangan Islam yang dibawa Pas apabila pada 30 April 2014, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dengan angkuhnya menyatakan bahawa Pas tiada tempat dalam PR jika terus memperjuangkan hudud.

Lim Guan Eng pula pada 10 Disember 2014 mengugut akan memecahkan PR jika Pas terus membawa usul hudud ke Parlimen disusuli pada 26 Disember 2017, Guan Eng dengan sombong menyatakan bahawa DAP memutuskan hubungan dengan pimpinan Pas selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz.

“Inilah wajah sebenar DAP, menghina perjuangan Islam Pas tanpa rasa malu. Justeru, adalah satu pembohongan besar untuk menuduh Pas kononnya “mensucikan” DAP.

Hakikatnya, Pas yang membuka pekung sikap anti-Islam DAP ke pengetahuan umum dan kami tidak akan berhenti menegur walau siapa pun yang bersekongkol dengan musuh prinsip Islam!

Pas tidak gentar kehilangan rakan politik. Apa yang lebih kami takuti ialah mengkhianati amanah Allah dan umat Islam. Biarlah ditinggal atau ditohmah, asalkan tidak tergelincir dari landasan Islam yang kami pegang sejak mula,” tegas Idris.

Mengenai sindiran Mohamed Khaled kononnya Pas meletakkan fatwa bahawa Haji dan Umrah boleh ditangguhkan demi pilihan raya, Idris meminta Menteri Pertahanan itu faham dan mendengar isi kandungan ceramah Presiden Pas, Abd Hadi Awang.

“Sebagai seorang kelulusan undang-undang sewajarnya faham elok-elok bukan hanya baca tajuk.Saya tidak mahu menghuraikan perkara ini boleh rujuk banyak tulisan berkenaan dengan perkara ini oleh para ulamak lain,” katanya.

Idris pada masa sama, berkata Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama bersama mana-mana parti, asalkan berpandukan prinsip perjuangan Islam.

“Kami tidak menolak muafakat. Tetapi biarlah muafakat itu diasaskan atas dasar takwa, amanah dan kebenaran. Jika muafakat dibina atas pengkhianatan terhadap janji politik dahulu, pengabaian terhadap sentimen dan penghalalan demi kelangsungan, maka itu bukan muafakat, itu penggadaian,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment