KPDN, JAKIM keluarkan produk DNA babi dari pasaran

PUTRAJAYA 23 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengeluarkan produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya berada di pasaran tempatan.

Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata sebaik saja mendapat maklumat berkaitan, pihaknya mengadakan perbincangan dengan JAKIM untuk memastikan produk berkenaan dikeluarkan segera.

“Jadi kita akan bekerjasama dengan JAKIM dan agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia, kita akan ambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah JAKIM, Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan nya mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi dari pasaran tempatan.

Arahan itu susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk terbabit.

Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.

Daripada jumlah itu, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.

(Foto fb Armizan)

Related posts

Leave a Comment