Keputusan ajaib ‘badan tanpa kepala’

SSEPANG 22 April  –  Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas pada pemilihan PKR Cabang Johor Bahru berkata, keputusan pemilihan di cabang itu baru-baru ini tidak terkecuali dari kejadian fenomena ‘badan tanpa kepala’.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu merujuk kegagalannya mempertahankan jawatan Ketua Cabang sebaliknya 10 ahli jawatankuasa (AJK) yang menang terdiri daripada pasukannya.

“Kejadian ajaib juga berlaku untuk AMK (Angkatan Muda Keadilan) iaitu hanya ‘kepala’ Ketua AMK yang ‘dipenggal’ sedangkan timbalan hingga semua AJK menang manakala sayap Wanita, jawatan Ketua dan Timbalan diganggu sedangkan Naib dan AJK pasukan Akmal Nasir menang,” katanya.

Justeru, beliau akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung keputusan Pemilihan Keadilan Cabang Johor Bahru yang tidak berpihak kepadanya.

“Saya akan mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP. Oleh itu, dipohon agar semua kekal bertenang sementara bantahan dihantar secara rasmi mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Akmal Nasrullah yang memperoleh 587 undi tewas mengejut kepada pencabarnya yang juga Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail yang berjaya mendapat 709 undi.

Menurut Akmal Nasrullah, bantahan itu diambil selepas ketua operasi Get Out The Voters (GOTV), Stanley Tan Boon Heng yang mengetuai operasi pengundian pada hari berkenaan membuat akuan bersumpah bagi mempertahankan sekurang-kurangnya 949 undi yang diterimanya selaku calon Ketua Cabang Johor Bahru.

“Seperti yang pernah saya kongsikan, angka-angka ini bukan sekadar anggota yang mengundi berdasarkan GOTV malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas.

Angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi berserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar,” katanya.

Akmal ketika hari pengundian memaklumkan melalui Facebooknya bahawa beliau memperoleh 949 undian berdasarkan rekod setiap undi melalui Borang 14.

“Ini angka paling minimum dan tidak termasuk undian yang dibuat secara individu yang membolehkan jumlah keseluruhan undi yang lebih tinggi. Setiap undi yang diberikan kepada saya dan pasukan juga disertakan dengan rekod tangkap layar dan tandatangan pengakuan sebagai bukti,” katanya.

Beberapa pemimpin lain yang tewas turut mengumumkan untuk memfailkan bantahan termasuk Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat (Selayang).

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam juga mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP susulan kekalahan tipisnya di Cabang Sungai Siput.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment