SINGAPURA 22 April – Jenazah bekas Wanita Pertama Singapura, Almarhum Noor Aishah Salim, selamat dikebumikan sekitar pukul 3 petang ini di Tanah Perkuburan Negara Kranji.
Noor Aishah balu Presiden pertama Singapura Yusof Ishak, meninggal dunia pada pukul 4.28 pagi di Hospital Besar Singapura pada usia 91 tahun setelah dirawat
sejak 6 Mac lalu selepas mengalami masalah paru-paru berair dan juga jangkitan.
Sementara itu lebih daripada 100 anggota keluarga dan kenalan rapat hadir bagi memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan.
Turut hadir ialah Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Terdahulu pedati meriam yang mengusung keranda Almarhum tiba di Tanah Perkuburan Negara Kranji tepat pada pukul 2.30 petang.
Jenazah Almarhum kemudiannya dikebumikan bersebelahan pusara suaminya Almarhum Yusof.
Tanah Perkuburan Negara Kranji dikhaskan untuk pengebumian para individu yang telah menyumbang secara signifikan kepada Singapura.
Presiden kedua Singapura mendiang Benjamin Sheares juga dikebumikan di tanah perkuburan tersebut selepas beliau meninggal dunia pada 1981.
Sementara itu, Perdana Menteri, Lawrence Wong dalam satu hantaran di Facebook menzahirkan rasa sedih dan dukacitanya dengan pemergian tokoh berkenaan.
“Dengan penuh kelembutan dan kekuatan yang tenang, beliau sentiasa berada di sisi Yusof Ishak dan memberikan sokongan teguh sepanjang tempoh mencabar ketika negara ini sedang dibina,” kata Wong.
Menurut Wong, di luar istana, bekas wanita pertama itu mendedikasikan diri dalam khidmat masyarakat melalui pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS).
“Kebaikan dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan banyak orang. Semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” kata Lawrence.
Dilahirkan di Selangor pada tahun 1933, Noor Aishah berkahwin dengan Almarhum Yusof pada 1949 ketika berusia 16 tahun dan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak.
Ketika suaminya, mengangkat sumpah sebagai Ketua Negara pada 1959, Almarhum
berusia 26 tahun dan Almarhum Yusof berkhidmat selama tiga penggal sebelum meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 1970.
Pada tahun-tahun akhir pentadbiran Yusof, Almarhum Noor Aishah mengambil alih beberapa tanggungjawab termasuk menyampaikan Anugerah Hari Kebangsaan susulan keadaan kesihatan suaminya yang semakin merosot.
Sepanjang hayatnya, Almarhum Noor Aishah pernah menjadi penaung kepada beberapa pertubuhan termasuk Palang Merah Singapura, Persatuan Wanita Islam Muda Singapura (PPIS), Persatuan Kanak-Kanak, Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Orang Buta, Persatuan Spastik dan Persatuan Orang Pekak.
Atas jasa dan sumbangannya juga, Allahyarham Noor Aishah terpilih sebagai tokoh dalam Singapore Women’s Hall of Fame pada 2018.
Foto fb PM Lawrence Wong
