TAPAH 8 April – Bawani KS sekali lagi dicalonkan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM), kali ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning walaupun beliau kehilangan wang deposit pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pada PRU lalu, Bawani, 40, yang juga anak tempatan Ayer Kuning dan mempunyai firma guamannya sendiri di sini, bertanding bagi kawasan DUN yang sama tetapi tewas dan hilang deposit apabila memperoleh 586 undi.
Pencalonan beliau diumumkan Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj pada majlis di Pusat Perniagaan Ayer Kuning, di sini, dengan turut dihadiri wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Bawani yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM dan Pengerusi PSM Perak dalam ucapannya berkata, PSM menawarkan suara alternatif kepada rakyat yang kini dilihat mula bosan, letih dan ketiadaan hala tuju dengan suasana politik tanah air.
“PSM menawarkan suara alternatif atau pilihan lain kepada rakyat yang bosan dan tidak tahu hala tuju, jadi perlu ada suara alternatif atau suara ketiga supaya suara rakyat dapat didengari,” katanya.
Justeru peguam hak asasi manusia itu menafikan anggapan sebilangan pihak bahawa penyertaan PSM dalam PRK kali ini bertujuan memecahkan undi.
Katanya , beliau pernah mewakili pelbagai komuniti termasuk petani, bekas petani dan Orang Asli di Perak antaranya berkaitan isu pengusiran paksa termasuk beberapa kes dalam kawasan Parlimen Tapah termasuk kes 30 penanam sayuran dan buah-buahan dari Kuala Bikam, Bidor yang disaman anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Sementara itu, Jeyakumar berkata, PRK DUN Ayer Kuning kali ini menyaksikan buat kali pertama PSM, PRM dan MUDA bersama-sama menyokong seorang calon dengan harapan kerjasama itu dapat membina momentum bagi kuasa politik ketiga dalam PRU akan datang.
Katanya, penyertaan PSM pada PRK kali ini susulan parti politik yang dianggap arus perdana didakwanya gagal membawa isu rakyat khususnya berkaitan kesusahan rakyat, sama ada ke Parlimen mahupun DUN.
“Negara kita kaya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 24 kali dalam beberapa tahun lalu, namun purata beban hutang rakyat masih 200 peratus dan ramai rakyat susah.
“Di Parlimen atau DUN, isu utama dimainkan isu remeh berkaitan perkauman untuk pecah belahkan keharmonian rakyat. Jadi, PSM bawa alternatif dan wakil kami akan bawa isu rakyat,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang di Georgetown pada 22 Februari lalu.
Pasa PRU lalu, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru mendahului calon Pakatan Harapan (PH) yang peroleh 6,875 undi, Perikatan Nasional (6,812), PSM dan Parti Pejuang Tanahair (105).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Nnn
