SEPANG 29 Mac – Parti Putra mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Zaliha Mustafa meletak jawatan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan dan integriti pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Ketua Penerangannya Shahrulufti Sharif berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur pula Dr Maimunah Mohd Sharif dil perlu dipindahkan ke agensi lain dengan serta merta.
Beliau berkata insiden yang melibatkan individu yang dikenali sebagai “Abang Belon” telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.
“Video insiden tersebut, yang kini tersebar luas di media sosial, menunjukkan tindakan kasar yang tidak wajar terhadap beliau.
Kejadian ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam pengurusan pihak berkuasa, tetapi juga menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran DBKL,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Putra percaya bahawa pemimpin yang bertanggungjawab harus bersedia untuk mengambil tanggungjawab penuh atas tindakan dan keputusan mereka.
Beliau berkata, kegagalan untuk menangani isu ini dengan telus dan berkesan menunjukkan bahawa perubahan kepemimpinan adalah langkah yang perlu diambil segera.
“Putra akan terus memperjuangkan hak rakyat dan memastikan bahawa setiap isu yang melibatkan kepentingan awam ditangani dengan penuh integriti, beradab, sopan dan keprihatinan berpandukan etika kerja berbudi bahasa,” katanya.
