KLANG 25 Jan. – Jika diarahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya meletak jawatan, Mohamad Sabu sedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Mohamad memberi reaksi itu ketika mengulas gesaan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, yang memintanya berundur sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan antirasuah yang dijadualkan hari ini.
“Itu pendapat peribadi (Mohamed Hanipa) dan dia bebas beri pandangan… ini adalah negara demokrasi. (Letak jawatan sebagai menteri) itu kalau Perdana Menteri suruh,” katanya.
Presiden Amanah itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024 di sini, hari ini.
Mohamed Hanipa dilapor berkata beliau sebagai seorang pengamal undang-undang menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam mewakili Mohamad atau lebih dilkenali Mat sabu yang pernah terbabit dalam banyak siri perhimpunan.
Justeru beliau berkata adalah wajar bagi Mohamad meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya perhimpunan anjuran kumpulan mahasiswa dihalang.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad mengakui bukan senang untuk menarik sokongan pengundi Melayu, namun parti itu sedang berkembang dengan keahlian juga meningkat.
“Memang kita tahu pada orang Melayu ini, UMNO dengan Pas yang ada dalam pemikiran mereka dan ia bukan mudah (pecahkan undi Melayu).
“Bagaimanapun, sokongan terhadap parti ini dilihat semakin kuat seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, selain Amanah juga memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
“Kita boleh lihat semasa PRK Nenggiri, satu peti undi yang dulunya sentiasa dimenangi Pas berjaya dimenangi Amanah dan kita lihat pengaruh kita semakin melebar,” katanya.
Mengenai pandangan mengatakan Amanah terkebelakang dalam membawa isu membabitkan Melayu dan Islam, Mohamad berkata pihaknya mempunyai pendekatan tersendiri.
“Kita bila buat kenyataan kita jangan lupa (negara) kita ‘multiracial’ (pelbagai bangsa), mungkin kita dapat menyeronokkan satu kaum tetapi kita jangan sehingga menyindir kaum lain…kita adalah Rahmatan Lil Alamin… untuk semua,” katanya.
Nnn
