Sedia jawab soalan berkaitan padi, beras

KLANG 26 Jan. – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu,bersedia menjawab segala persoalan yang timbul berkenaan isu beras tempatan dan padi pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan awal Februari ini.

Katanya, kerajaan kini sedang mengenal pasti situasi menang-menang membabitkan semua pihak berhubung isu berkenaan.

“Kita akan cuba mencari jalan untuk memuaskan semua pihak, kalau tuntutan padi sebagai contoh, harga sepatutnya ditetapkan setakat mana, bagaimana jika berlaku kenaikan harga beras, bagaimana dengan B40, …

Semua ini akan dibincangkan bersama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL),” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 akan bersidang selama 18 hari mulai 3 Februari hingga 6 Mac nanti.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024, di sini, beliau berkata sesi libat urus yang lebih teliti membabitkan semua pemegang taruh industri, juga perlu bagi menyelesaikan isu beras tempatan dan harga padi.

Justeru katanya, kementerian memerlukan sedikit masa lagi sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan kepada semua pihak.

“Bagi kami, kepentingan pengguna, petani, pengilang dan pengedar semua ini perlu dijaga kerana mereka ada peranan masing-masing sebab itu kita sedang buat libat urus dengan lebih panjang.

Kita juga akan berbincang dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan persetujuan beliau kita akan buat perubahan yang diperlukan,” katanya.

Mohamad berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri itu akan dimulakan seawal minggu pertama persidangan Parlimen tahun ini.

Sebelum ini, Ketua Kluster NACCOL,  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau akan meminta Anwar Ibrahim menyerahkan portfolio urusan padi dan beras negara di bawah NACCOL buat sementara waktu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, berkata beliau akan mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat yang bermula 3 Februari ini bagi mencari penyelesaian isu padi dan beras dalam negara, yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, selepas didakwa gagal diselesaikan Mohamad.

Susulan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam reaksinya menegaskan, setiap isu berkaitan padi dan beras di negara ini perlu dirujuk kepada pihak berautoriti supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.

“KPKM sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh. Ia bagi memastikan peningkatan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah dan menjamin bekalan beras negara,” KPKM dalam kenyataan.

NNNN

Related posts

Leave a Comment