Tuduhan berkaitan lantikan Musa serius

KUALA LUMPUR 22 Dis. –  Mana-mana pihak yang mempertikaikan pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 yang kononnya sebelum ini terlibat dengan kes rasuah adalah satu tuduhan berat dan serius.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Abdul Rahman Dahlan, berkata mereka yang berkenaan juga secara tidak langsung mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan itu.

Beliau menegaskan, untuk rekod, Musa pada 2020 sudah dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah oleh Peguam Negara, mahkamah serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Persoalan timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan berat ini betul atau tidak? Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan dibuat oleh mahkamah, SPRM dan Peguam Negara.

Ketiga-tiga entiti ini sudah melepaskan Musa daripada tuduhan rasuah. Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Musa pada Jun 2020.

“Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau yakin pembebasan Musa oleh ketiga-tiga entiti ini sudah menjadi asas utama kepada proses ‘vetting’ atau tapisan ketat yang dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan perlantikannya sebagai TYT.

Abdul Rahman berkata, asas lain diambil kira sudah tentu khidmat Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan Sabah yang memberangsangkan ketika pentadbiran beliau.

“Jika ada pihak mempertikai pelantikan Musa kononnya ada tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan Peguam Negara, saya cadangkan mereka merujuk kepada keputusan dibuat Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong kerana sebelum ini, ada seorang Ahli Parlimen pembangkang membuat aduan rasuah sama terhadap Musa kepada ICAC.

“Tiada siapa berani menuduh ICAC dipengaruhi tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.

“ICAC sudah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa. Itulah faktanya,” katanya.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabau ke-14 itu dibuat mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata beliau telah menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai beberapa nama lain untuk dipertimbangkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.

Beliau mengulas kritikan terhadap komitmennya dalam memerangi rasuah susulan pelantikan Musa Aman bagi jawatan itu.

“Satu setengah tahun telah berlalu. Ketua menteri tiba-tiba mencadangkan satu nama. Saya tanya dia, ada nama lain tak? Sudah tentu ada, dua atau tiga nama.
Bila surat sampai, surat itu hanya ada satu nama.

“Tapi, bolehkah saya menasihati Agong, ‘Bolehkah kita pertimbangkan nama lain?’ Dengan kelulusan negeri? Sudah tentu boleh. Adakah saya buat begitu? Saya buat,” katanya kepada pengarang dan pemberita.

Pelantikan Musa mencetuskan kritikan, dengan sejumlah pihak membangkitkan semula kontroversi yang melibatkan Musa sebelum ini.

Ada juga yang menyifatkan Anwar dan pemimpin PH sebagai menggadaikan pendirian reformasi mereka susulan pelantikan itu.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mempertahankan pelantikan itu dengan menegaskan ia dibuat atas budi bicara Agong atas nasihat daripada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Di bawah Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri dilantik atas budi bicara Agong tetapi selepas berunding dengan ketua menteri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment