PRU16: UMNO, BN bersama Kerajaan Perpaduan

SEREMBAN 22 Dis. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi memberi jaminan untuk memberi komitmen sepenuhnya bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengulangi komitmen itu berkata, Kerajaan Perpaduan berpeluang mengekalkan kemenangan pada PRU16 itu, jika aspek kesetiaan pada parti dan usaha menyantuni rakyat terus diutamakan.

“Saya ingin respons apa dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, pertanyaan wartawan kepadanya ketika itu, adakah Kerajaan Perpaduan boleh ‘survive’ jika pilihan raya dilakukan dalam waktu terdekat, beliau yakin boleh ‘survive’.

Dalam keadaan itu saya ingin menyatakan bahawa kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan (akan berterusan) sehingga PRU16,” katanya selepas majlis Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar semalam yang menyatakan keyakinan Kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Semalam, Anwar yakin Kerajaan MADANI mempunyai kelebihan memenangi PRU jika diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang. Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang,” katanya

Pada Jun lalu, Ahmad Zahid menyatakan BN akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU16 di mana kedua-dua pihak masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menegaskan ketaatan dan kesetiaan adalah perkara keutamaan dalam kepemimpinan parti.

Selain itu, beliau turut memuji barisan menteri BN yang menunjukkan prestasi cemerlang termasuk Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan sebagai Menteri Luar, yang menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Nnn

Related posts

Leave a Comment