KUALA LUMPUR 20 Nov. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin, daripada tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.
Harta berkenaan termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Seksyen 254 CPC menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.
Semalam, Nai’mah Abdul Khalid, isteri kepada Daim mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi arwah diteruskan supaya keadilan terhadap suaminya itu terbela.
Nai’mah berkata, menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.
Kenyataan itu dikeluarkan Nai’mah selepas Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan akan menyemak semula pendakwaan terhadap Daim yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas kematian pemimpin terbabit pada 13 November lalu di sebuah hospital swasta, ketika menerima rawatan selama dua minggu.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
