PASIR MAS 16 Nov. – Akta Tahanan Rumah yang bakal dibentangkan tahun hadapan menyasarkan 20,000 individu yang menjalani tahanan reman di penjara, sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan penjara.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata akta berkenaan tidak terpakai kepada tahanan reman di penjara yang membabitkan kes jenayah berat.
Katanya, banduan di seluruh negara kini mencecah 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya untuk 74,000 banduan dan pada masa sama, banduan dalam komuniti seramai 5,000 orang dan kini lebihan banduan membabitkan 8,000 orang.
Daripada jumlah banduan di seluruh penjara itu, 20,000 membabitkan individu ditahan reman dalam penjara sementara kes mereka dibicarakan.
“Tahanan reman inilah menjadi fokus kita untuk Akta Tahanan Rumah yang akan dibentangkan tahun depan. Namun bagi kes jenayah berat, mereka akan dikecualikan.
Menerusi pendekatan ini, kesesakan penjara yang berlaku kini dapat diselesaikan. Ramai yang salah faham bila sebut Akta Tahanan Rumah hanya fokus kepada ‘seorang’ sedangkan kita sasarkan ribuan tahanan reman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, mereka yang menjalani tahanan di rumah itu nanti akan dipakaikan peranti khas bagi pemantauan.
Nnn
