Hukuman 5 kadet dua minggu lagi

KOTA TINGGI 16 Nov. – Bentuk hukuman terhadap lima kadet membabitkan dua kes buli pelajar termasuk menggunakan seterika di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), akan diketahui dua minggu lagi.

Menteri Pertahanan,  Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya sudah memutuskan hukuman itu namun ia perlu mendapat pengesahan daripada Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang, mereka perlu bayar denda iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan keluarkan sepanjang mereka jadi kadet pelajar dan mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Maknanya, bila hukuman disahkan dalam mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi, keputusan sudah ada seperti yang telah saya katakan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi di sini, malam tadi.

Pada 8 November lalu, Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada pukul 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi di sini.

Kes kedua pada 21 Oktober lalu membabitkan seorang penuntut tahun satu yang mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior. Kes itu didedahkan pada 10 November lalu.

Mohamed Khaled berkata selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku, kementeriannya juga akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu yang menyorokkan insiden buli di UPNM serta pihak tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.

“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu dan pelajar senior, kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal kalau sesiapa terlibat dalam soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman adalah sangat berat.

“Kita juga akan memperketatkan tindakan terhadap mereka yang menyorok atau tidak memaklumkan (kejadian buli). Jadi ini antara yang kita buat, ” katanya.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya bersikap terbuka dan tidak menghalang mangsa buli membuat laporan sekiranya terdapat elemen jenayah.

“Kita terbuka, kita tiada sekatan. Kalau ada yang merasakan kes itu jatuh dalam soal jenayah, maka terpulang kepada setiap kadet untuk buat laporan polis. Dari segi kementerian, kita tak halang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment