Pesawat AS isi minyak Sukhoi TUDM di udara

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Buat kali pertama pesawat pengisi minyak milik Amerika Syarikat (AS), USAF KC-135 mengisi minyak pesawat buatan Russia, Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Detik bersejarah itu dilakukan menerusi latihan pertukaran kepakaran kemahiran (SMEE) membabitkan TUDM bersama United States Pacific Air Forces (US PACAF) dan Washington Air National Guard (WAANG) pada 12 dan 13 November lalu.

Melalui latihan pengisian bahan bakar udara ke udara (AAR) itu, proses pemindahan minyak dari pesawat tanker ke pesawat lain yang memerlukan dibuat ketika masih kekal dalam penerbangan.

Menerusi hantaran di Facebook, TUDM memaklumkan latihan itu salah satu aktiviti yang dirancang hasil Bilateral Airman-to-Airman Talks di antara Malaysia dan AS.

Latihan AAR adalah teknik pemindahan bahan bakar dari satu pesawat yang dikenali sebagai tanker ke pesawat lain, yang memerlukan bahan bakar semasa kedua-duanya berada di udara.

“Teknik ini membolehkan pesawat menerima bahan bakar untuk kekal terbang lebih lama dan membawa muatan yang lebih berat semasa berlepas.

Latihan ini melibatkan pesawat KC-135 dari USAF serta pesawat SU-30MKM dan F/A-18D Hornet dari TUDM,” kata kenyataan berkenaan.

Selain Malaysia, negara di rantau Asia Tenggara yang turut memiliki pesawat tempur Sukhoi buatan Russia adalah Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

Sukhoi Su-30MKM adalah pesawat tempur pelbagai peranan canggih dan dilapor dioperasikan oleh Skuadron ke-12 TUDM berpangkalan di Pangkalan TUDM Gong Kedak di Besut, Terengganu.

Media pada November 2021 melaporkan, pesawat-pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM akan terus menabur khidmat dengan TUDM, masing-masing sehingga 2035 dan 2040 sebelum digantikan dengan pesawat pejuang baharu.

Malaysia menandatangani kontrak dilapor bernilai AS$900 juta dengan Russia pada 2003 untuk memperolehi 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM, dengan pesawat pertama diterima pada 2007.

Menurut TUDM, latihan AAR membawa pelbagai manfaat strategik, antaranya memanjangkan jarak operasi pesawat, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkuatkan keupayaan untuk menjalankan misi jarak jauh tanpa keperluan mendarat untuk mengisi bahan bakar.

Selain itu, memperkukuh koordinasi antara pesawat tanker dan pesawat penerima bahan bakar serta meningkatkan kerjasama antara tentera udara dari kedua-dua negara dalam menjalankan operasi gabungan.

“Secara keseluruhan, ini bukan sahaja memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia dan AS, tetapi juga meningkatkan kemampuan TUDM dalam menjalankan operasi bersama rakan antarabangsa.

“TUDM akan terus komited dalam mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan angkatan udara Malaysia sejajar perkembangan pesat dalam teknologi pertahanan dan kerjasama antarabangsa,” kata kenyataan itu.

(Foto FB TUDM)

Nnn

Related posts

Leave a Comment