Pencarian MH370 tidak diabaikan

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kerajaan masih berhasrat untuk mencari MH370 dengan mengadakan rundingan bersama Ocean Infinity United Kingdom yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata rundingan itu yang dibuat sejak Jun lalu membabitkan pengesanan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di Selatan Lautan Hindi.

Katanya, pertimbangan itu dibuat atas aspirasi kerajaan yang tidak akan mengabaikan bagi mencari bangkai pesawat MH370 sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.

Rundingan ini berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’ yang mana kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat terbabit.

Loke berkata, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity kukuh dan boleh dipertimbangkan kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta menteri pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370.

Pada masa sama, Loke berkata, pihaknya akan mengumumkan secara terbuka kelak, jika rundingan itu berjaya dimuktamadkan.

Beliau berkata, kos ditetapkan pihak Ocean Infinity dalam operasi pencarian adalah AS$70 juta (RM305 juta), iaitu masih sama dengan perjanjian ditetapkan pada Januari 2018.

“Rundingan masih dibincangkan dan belum dimuktamadkan dengan kos diminta adalah sama seperti 2018 namun disebabkan tidak dapat ditemui lagi, maka tiada bayaran dibuat kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, terdapat sebilangan kecil ahli keluarga mangsa pesawat MH370 yang tidak sanggup menerima bayaran berkenaan atas sebab peribadi, antaranya adalah mereka merasakan masih ada harapan bahawa mangsa pesawat MH370 akan pulang.

“Apa saja pampasan sudah diselesaikan sebelum ini namun ada sebilangan ahli keluarga tidak sanggup menerimanya. Walaupun tarikh akhir sudah berlalu, MOT terbuka untuk berbincang dan menjadi pengantara bagi syarikat penerbangan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment