KUALA LUMPUR 1 Okt. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) memaklumkan kegagalan pelaburan dalam FashionValet (FV) berlaku ketika pandemik Covid-19 apabila sekatan pergerakan menyukarkan operasi kedai fizikal syarikat berkenaan.
Dalam kenyataannya, PNB berkata perbelanjaan modal besar digunakan bagi melengkapkan kedai berkenaan, akhirnya menimbulkan cabaran aliran tunai yang turut menjejaskan perniagaan platform dalam talian FV.
Menurut syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu berkata, FV memerlukan suntikan modal segera, tetapi pelabur sedia ada, termasuk PNB tidak bersedia untuk menyuntik dana tambahan susulan risiko berkaitan.
“Selepas proses pengumpulan dana dari 2022 hingga 2023, seorang pelabur Bumiputera muncul dan bersedia melabur modal baharu ke dalam syarikat terbabit tetapi pada penilaian yang jauh lebih rendah, mengambil kira keadaan mencabar dan suasana pengumpulan dana global yang sukar.
Sebagai sebahagian daripada proses ini, pelabur Bumiputera terbabit turut menawarkan untuk membeli pegangan dimiliki pelabur sedia ada dalam FV.
“Memandangkan pegangan PNB adalah kecil, dengan peruntukan besar, keputusan untuk menerima tawaran pembelian berkenaan diambil bagi memudahkan kelangsungan FV,” kata kenyataan itu.
PNB dan Khazanah sebelum ini digesa memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dialami dua GLIC itu dalam FV.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan, memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham FV kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FV.
Sementara itu, PNB menegaskan pelaburan berkenaan dibuat menggunakan dana proprietari PNB, bukannya daripada dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan orang awam.
Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami, iaitu sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta, tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion diuruskan PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan dijana selepas mengambil kira kerugian ini pada TK23.
“PNB mengakui risiko dan ganjaran melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian dan, oleh itu, pelaburan ini diuruskan sebagai satu portfolio, dengan prestasi dinilai berdasarkan keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan tertentu.
“Bagi menguruskan risiko, had ketat dan garis panduan diterapkan untuk memastikan pelaburan tidak tertumpu dan dibiayai, terutama oleh dana proprietari PNB, bagi melindungi pemegang unit ASNB daripada potensi kerugian.
“Ringkasnya, FV adalah pelaburan modal teroka telus, bertujuan menyokong syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, malangnya terjejas teruk oleh COVID-19 dan perubahan dalam trend peruncitan.
“PNB kekal komited untuk berhati-hati dan bijaksana dalam keputusan pelaburan yang dibuat dengan pematuhan kepada proses usaha ketekunan wajar dan kelulusan teliti,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, katanya, rasional pelaburan itu adalah untuk bekerjasama dengan pelabur lain bagi membantu syarikat peruncitan digital Bumiputera yang mengalami perkembangan kukuh untuk berkembang sebagai platform serantau bagi pereka dan jenama tempatan.
Selain itu, ia bertujuan membuka kedai fizikal untuk menyediakan pengalaman ‘omnichannel’ kepada pengguna, sambil turut membangunkan jenama yang dimiliki sepenuhnya.
