Kedah perlu pertahan sektor pertanian

ALOR SETAR 27 Okt. – Kedah perlu mempertahankan sektor pertanian khususnya padi yang sinonim dengan negeri itu, demi memastikan aspek keterjaminan makanan negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu mencadangkan The Greater Kedah yang dilancarkan hari ini meneruskan sektor pertanian khususnya penanaman padi dengan menggunakan pendekatan sistem perladangan komersial.

Katanya, melalui pendekatan ini, pemilik sawah tidak lagi menanam padi secara bersendirian, sebaliknya berkumpul di dalam satu kelompok besar dengan projek diuruskan pakar pengurusan pertanian.

“Pemilik pula akan kekal dengan pemilikan tanah yang dijadikan modal saham dalam aset padi yang didirikan, seperti juga dengan ladang getah dan kelapa sawit.

Pendapatan dari ladang besar lebih besar daripada mengusahakan sawah padi sendirian secara kecil. Ini memastikan tiada tanah sawah terbiar, atau yang memberi hasil yang rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melalui rakaman video pada majlis pelancaran The Greater Kedah yang disempurnakan Menteri Besar ,  Muhammad Sanusi Md Noor di sini, hari ini.

Penasihat ‘State Goverment 4’ (SG4) yang membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu dijadual hadir sebagai tetamu khas pada majlis itu, namun terpaksa membatalkan kehadiran atas nasihat doktor susulan masalah kesihatan.

Dr.Mahathir yakin pelaksanaan The Greater Kedah akan menjadi menyumbang kepada kejayaan penubuhan SG4 pada September

Malah, beliau berkata The Greater Kedah adalah kesinambungan kepada perancangan dalam SG4 untuk memajukan empat negeri berkenaan, namun memerlukan sokongan semua pihak.

Katanya, kemajuan dikecapi Kedah kelak akan mewujudkan persaingan sihat antara negeri SG4.

“Dalam lain perkataan, Greater Kedah tidak bergerak secara sendirian tetapi berkait rapat dengan usaha memajukan SG4 yang mana Kedah adalah satu daripada empat negeri terbabit.

“Bezanya ialah SG4 bertindak dari atas ke bawah, manakala The Greater Kedah bersifat dari bawah ke atas. Ia tidak bercanggah, malahan bersifat saling melengkapi.

“Selain memastikan Kedah berjaya memajukan diri, ia akan menyumbang kepada kejayaan SG4,” katanya.

Blueprint The Greater Kedah merangkumi pelan perancangan sedia ada antaranya Pelan Pembangunan Kedah 2035, Pelan Strategik Ahli Majlis Kerajaan Negeri 2024-2028.

Related posts

Leave a Comment