Hentikan amalan ‘umum dulu fikir kemudian’

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA – Muar) menggesa kerajaan menghentikan amalan ‘umum dulu, fikir kemudian’ dalam memperkenalkan dasar sehingga mencetuskan ketakutan dan kegelisahan dalam masyarakat.

Beliau mengambil contoh, melalui Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan subsidi RON95 dan pendidikan akan ditarik daripada golongan T15, sedangkan klasifikasi golongan itu masih belum ditentukan.

“Ini menyebabkan rakyat menggunakan garis pendapatan isi rumah yang yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) sebelum ini, yang turut digunakan bagi penyasaran subsidi diesel.

“Ini masalah bila kita umum dulu, fikir kemudian kerana rakyat sudah dengar ucapan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan apa (subsidi) yang mereka bakal hilang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, selepas pengumuman dibuat dan apabila didesak, pihak kerajaan akan fikirkan dulu sedangkan rakyat di bawah sudah gelisah.

“Sebab itu, janganlah berikan banyak alasan dalam bab ini. Cukup-cukuplah umum dulu, fikir kemudian kerana realitinya, lagi lama kita tunggu, lagi susah rakyat untuk bersedia, syarikat untuk merancang dan kita sebagai pembangkang mengemukakan cadangan balas,” katanya.

Menjawab kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mempertahankan pendekatan pengumuman subsidi itu, Syed Saddiq berkata, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mungkin digunakan dalam penentuan subsidi itu sehingga hari ini masih belum diketahui perinciannya.

“Pelaksanaan subsidi diesel pun tidak ikut PADU. Jika gaji tahunan isi rumah di bawah RM100,000, mereka layak dapat bantuan BUDI MADANI.

“Dengan tiadanya data terkini, data sedia ada oleh DOSM perlu digunakan. Sebab itu rakyat di bawah gunakan klasifikasi sama sehingga ada alternatif baharu yang dikemuka kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq turut meminta kerajaan supaya tidak menarik subsidi secara serentak kerana akan memberi kesan kepada moral rakyat yang terkesan, sebaliknya jika dilakukan, ia dibuat secara beransur-ansur.

Katanya, penarikan subsidi itu akan memberi kesan kepada golongan pertengahan dan wanita yang bekerja, yang mungkin diminta untuk berhenti kerja oleh suami mereka, hanya untuk memastikan mereka sekeluarga dapat menikmati subsidi.

“Bayangkan alternatif yang kerajaan umumkan pada hari ini. Suami bergaji RM7,000, isteri bergaji RM6,000, melangkaui nilai ambang sedia ada) masuk ke T15 dan ketiga-tiga subsidi, iaitu petrol, pendidikan dan kesihatan tak dapat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment