Kali ke-11 Blinken ke Asia Barat runding damai

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, sekali lagi ke Asia Barat semalam, selepas melihat wujud peluang baharu melaksanakan gencatan senjata di Gaza, susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

Ini merupakan lawatannya yang ke-11 ke Asia Barat sejak perang meletus setahun lalu, dengan dalam lawatan terakhirnya ke Israel Ogos lalu, beliau memberi amaran ia mungkin peluang terakhir untuk melaksanakan rancangan gencatan senjata.

Bagaimanapun, dorongan itu tidak berjaya bahkan konflik Israel-Palestin terus meningkat dan berkembang sejak itu, dengan rejim Zionis melancarkan serangan terhadap Lubnan, sambil memberi amaran akan melancarkan serangan baharu terus ke atas Iran.

Lawatan Blinken menyusul beberapa hari selepas beliau dan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, memberi amaran kepada Israel bahawa AS boleh menyekat sebahagian dana berbilion dolar bantuan ketenteraan, melainkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan di Gaza semakin meruncing apabila lebih 1.8 juta orang dihimpit isu kelaparan melampau, malah berada di ambang kebuluran jika belum mencapai tahap itu.

Mengikut jadual, Blinken dijangka melawat Israel terlebih dahulu, sebelum berkunjung ke negara lain di Asia Barat sehingga Jumaat ini.

Menurut seorang pegawai yang turut bersama delegasi itu, Blinken akan melawat Jordan esok bagi membincangkan isu bantuan kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza.

Jabatan Negara AS tidak menyenaraikan secara khusus mengenai lawatan Blinken tetapi berdasarkan rekod perjalanan sebelumnya, Blinken pernah melawat beberapa negara Arab termasuk Qatar dan Mesir yang menjadi pengantara utama rundingan gencatan senjata antara Israel-Palestin.

“Blinken akan membincangkan kepentingan menamatkan perang di Gaza, memastikan pembebasan semua tebusan dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin,” kata kenyataan Jabatan Negara AS.

Related posts

Leave a Comment