Selama mana Johor kekal kerajaan BN-UMNO

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor Onn Hafiz Ghazi nampaknya kurang selesa dengan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali.

Baru-baru ini, Azmin mencabar Onn Hafiz mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu, 28 September ini.

Bagaimanapun Onn Hafiz menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya untuk melaga-lagakan rakyat di negeri itu oleh pemimpin pembangkang dari luar.

Mungkinkah isu ini boleh menjejaskan sokongan rakan-rakan dari Amanah, PKR dan DAP kepada undi calon BN? Berdasarkan BN menang majoriti 5,166 pada PRN lalu dan jika 16,611 pengundinya tidak lari, Mahkota akan kekal kepada calon UMNO.

Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor merangkap Pengarah PRK BN DUN Mahkota, berkata kestabilan di Johor ketika ini sepatutnya dikekalkan dan tidak perlu diganggu oleh pemimpin luar.

“Kita di Johor, bekerjasama baik dengan rakan-rakan daripada pihak pengimbang. Johor satu-satunya negeri yang ada pihak pengimbang.

Oleh itu, saya minta rakyat tidak termakan dengan hasutan-hasutan yang tidak bertanggungjawab  ini,” katanya dalam temu bual bersama media di kediaman Menteri Besar Johor di Saujana di sini semalam.

Dalam politik, apa sahaja isu yang ada kaitan politik dan mungkin memberi kelebihan kepada parti politik tertentu akan dibangkitkan tanpa batas sempadan. Itu lumrah parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Dalam isu Kerajaan Perpaduan di Johor, bukan hanya pembangkang yang memperkatakannya sebaliknya ‘orang dalam’ atau sekutu BN dalam PH juga bersuara sejak sebelum hari penamaan calon.

Sebelum ini, selepas kematian penyandang kerusi DUN Mahkota dari UMNO itu, beberapa orang pemimpin Amanah sudah bersuara bahawa mana-mana parti bebas bertanding di DUN Mahkota kerana Kerajaan Perpaduan tidak wujud di Johor.

Bagi Ketua Amanah Kluang Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, atas dasar bukan Kerajaan Perpaduan Johor, kerusi itu walaupun dimenangi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu melalui calon UMNO,  ia terbuka kepada mana-mana parti.

Apa yang menarik, cabaran Mohamed Azmin mendapat reaksi Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Walaupun mendakwa, tindakan pemimpin pembangkang itu adalah usaha untuk memecah-belahkan kerjasama antara BN dan PH dalam PRK DUN Mahkota, beliau seperti ‘malu tapi mahu’, meletakkan harapan agar penubuhan Kerajaan Perpaduan dapat direalisasikan di negeri ini selepas PRK.

“Ibaratnya, kita berjalan kaki (kerana) tiada kenderaan, (lebih baik) kalau dapat tumpang naik satu kenderaan…walaupun mungkin naik kereta lembu. Itu pun sudah bagus. Apatah lagi kalau dapat tumpang bersama (naik) satu bas yang cantik. Itu lebih baik,” katanya seperti dilaporkan media.

Maknanya cabaran Mohamed Azmin ada asasnya, cuma beliau ‘orang luar’ yang bolehlah dianggap tidak layak mencampuri urusan orang lain.

Setakat ini, Johor mahu kekal sebagai satu-satunya negeri yang ditunjangi BN atau UMNO apatah lagi kerajaan negeri ini dibentuk sebelum kelahiran Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Johor yang pernah menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini membentuk kerajaan negeri ketika UMNO berpegang teguh kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu “No Anwar No DAP”. Cuba selak balik kenyataan tegas Onn Hafiz.

Malahan Onn Hafiz antara beberapa kerat pemimpin UMNO yang lantang mempertahankan pendirian PAU itu.

Adakah selepas PRK Mahkota hujung minggu ini, menang atau kalah, Onn Hafiz akan berubah fikiran berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan? Atau rakan-rakan BN iaitu PKR, DAP dan Amanah terpaksa menunggu PRN akan datang?

Dengan berbekalkan 39 kerusi (tidak termasuk Mahkota), BN mempunyai majoriti dua pertiga di DUN Johor di mana PH memenangi 13 kerusi dan PN tiga kerusi.

Berbanding negeri-negeri lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan, Johor lebih selesa untuk bersendirian membentuk kerajaan. Kedudukan ini dijangka kekal sehingga pilihan raya akan datang.

Pada masa yang sama UMNO Johor juga sedang mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen yang pernah dimenangi parti itu dan kini berada di tangan Amanah atau PKR. Sudah ada suara-suara di pihak UMNO yang secara terbuka mahukan kerusi berkenaan. Contohnya Sri Gading.

Mungkin tanpa Kerajaan Perpaduan Johor, hasrat beberapa pemimpin UMNO negeri itu untuk meletakkan calon mereka pada peringkat Parlimen pada PRU akan datang lebih mudah. Di Johor BN, PH boleh bawa haluan masing-masing.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment