11 terbunuh, 4,000 cedera letupan kelui

BEIRUT – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh manakala lebih 4,000 yang lain termasuk pejuang Hizbullah dan kakitangan perubatan mengalami kecederaan akibat letupan ‘pager’ atau alat kelui di seluruh Lubnan.

Susulan itu, pejuang Hizbullah memberi amaran akan membalas dendam terhadap Israel selepas menuduh mereka dalam kes letupan peranti telekomunikasi mudah alih itu.

Menteri Penerangan Lubnan, Ziad Makary, mengecam ‘serangan’ menyasarkan alat kelui peranti telekomunikasi yang banyak digunakan oleh Hizbullah dan pihak lain di Lubnan.

Hizbullah menyatakan bahawa Israel akan menerima hukumanan yang setimpal atas serangan terbabit.

Tentera Israel yang terbabit dalam pertempuran rentas sempadan dengan Hizbullah yang disokong Iran sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober tahun lalu enggan memberi komen mengenai kes letupan berkenaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, jumlah kematian meningkat dari lapan kepada sembilan orang mangsa semalam, manakala jumlah yang cedera sudah melebihi 4,000 mangsa.

Dalam pada itu, Hizbullah mengesahkan bahawa jumlah kematian itu termasuk sekurang-kurangnya dua pejuangnya dan seorang kanak-kanak perempuan.

Peranti telekomunikasi mudah alih berkenaan meletup di selatan Lubnan di kawasan pinggir selatan Beirut yang dikenali sebagai Dahiyeh dan Lembah Bekaa di timur iaitu lokasi kubu kuat Hizbullah.

Sebuah video pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) yang terbitkan penyiar serantau menunjukkan seorang lelaki sedang membayar di kaunter kedai runcit apabila alat kelui yang diletakkan di sebelah juruwang meletup.

Seorang pegawai Hizbullah yang enggan dikenali berkata, tragedi itu adalah ‘pelanggaran keselamatan terbesar’ bagi kumpulan itu dalam hampir setahun konflik dengan Israel.

Kumpulan pejuang Palestin Hamas, yang melancarkan perang dengan Israel di Gaza, berkata letupan kelui adalah ‘peningkatan keganasan’ yang hanya akan membawa Israel kepada ‘kegagalan dan kekalahan’.

Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, mengecam serangan itu dalam satu kenyataan dan berkata ia ‘menandakan peningkatan keganasan yang amat membimbangkan’ dalam konflik itu.

Washington berkata ia tidak terlibat dalam letupan itu dan tidak tahu siapa yang bertanggungjawab, ketika Amerika Syarikat (AS) memperbaharui gesaan untuk penyelesaian diplomatik kepada ketegangan antara Israel dan Lubnan.

Tanpa mengulas secara langsung mengenai letupan di Lubnan, jurucakap tentera Israel berkata ketua kakitangan, Mejar Jeneral Herzi Halevi, bertemu dengan pegawai kanan pada petang Selasa untuk menilai keadaan.

“Tiada perubahan dasar diumumkan tetapi ‘kewaspadaan mesti terus dikekalkan’,” katanya.

Pejuang Hizbullah telah menggunakan alat kelui sebagai alat komunikasi berteknologi rendah dalam usaha mengelak penjejakan lokasi Israel.

Alat kelui ialah peranti telekomunikasi tanpa wayar yang menerima dan memaparkan mesej.

Dalam pada itu Duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani, mengalami kecederaan ringan akibat letupan alat kelui pada Selasa dan sedang dalam pemerhatian di hospital.

Nnn

Related posts

Leave a Comment