NAIROBI – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan pelan untuk meningkatkan tindak balas terhadap wabak Mpox yang sedang melanda Afrika.
Inisiatif itu yang diumumkan di Kinshasa, Republik Demokratik Congo memberi tumpuan kepada peningkatan pemantauan, diagnostik makmal dan usaha vaksinasi untuk membendung penyebaran penyakit.
Pelan Kesediaan dan Tindak Balas Strategik Mpox, itu menekankan kerjasama antara negara-negara Afrika untuk memastikan semua negara dilengkapi secukupnya bagi menangani kemungkinan wabak.
Dengan belanjawan sebanyak AS$600 juta (RM2.6 bilion), pelan ini memfokuskan kepada tindak balas dan kesiapsiagaan di 29 negara anggota.
Khamis lalu, Congo menerima penghantaran pertama vaksin Mpox untuk membantu membendung penyebaran virus itu.
WHO mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global pada 14 Ogos lalu, manakala Africa CDC mengisytiharkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Keselamatan Benua (PHECS) sehari sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Africa CDC, Jean Kaseya berbangga untuk melancarkan pelan ini yang menyatukan semua pihak berkepentingan dalam pendekatan yang diselaraskan untuk menangani wabak Mpox di seluruh Afrika.
Katanya, strategi bersatu ini memastikan semua rakan kongsi sejajar dengan objektif yang sama, mengelakkan pertindihan dan memaksimumkan impak.
