GUA MUSANG 27 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, di sini, pada 14 Ogos lalu.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan menjadualkan perbicaraan seterusnya pada 4 November.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang, di sini, pukul 8.43 pagi dengan diiringi pimpinan parti termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin.
Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, awal bulan ini.
Pendakwaan Muhyiddin hari ini menjadikan beliau bekas Perdana Menteri pertama yang dituduh mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiasat mengikut Akta Hasutan susulan ceramahnya berkait Raja, Agama dan Kaum (3R) dalam kempen PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.
Polis menerima 30 laporan polis berkaitan ucapan Muhyiddin dan serama 66 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Laporan polis dibuat selepas tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Nnn
