KUALA LUMPUR 24 Ogos – UMNO perlu bergerak dan memerintah bersandarkan kepada realiti politik kemajmukan dan berharap ahli serta pendukung parti mengerti perkara berkenaan, kata Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ia bukan perkara baharu atau perkara yang dibuat secara tiba-tiba atas dasar keterpaksaan atau keterdesakan, sebaliknya pendekatan itu adalah apa yang UMNO bidani sejak parti mula mentadbir negara dan bangsa.
“Dari fikrah UMNO, kita wujudkan BN (Barisan Nasional) dan mengurus negara ini secara permuafakatan selama lebih enam dekad,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Mohamed berkata, pembaharuan strategi dan idea adalah sesuatu yang sangat diperlukan UMNO.
“Selain terus bersandar kepada kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian, kita mesti mengambil kira kedinamikan semasa. UMNO tidak lagi boleh memaksa pelbagai parti menyertai BN sebagai komponen, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan baik.
“Pelbagai strategi boleh kita lakukan, tetapi matlamat asal masih terus kita pertahankan,” katanya.
Orang Melayu katanya, perlu berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain dan kekuatan UMNO tidak memadai hanya untuk memerintah secara bersendirian.
“UMNO mesti berkawan, bersahabat dan senantiasa terbuka untuk berkongsi dan berbahagi demi Malaysia yang berjaya. Jadi, realiti politik kepelbagaian dan prinsip kesederhanaan mesti terus menjadi kekuatan dan pegangan UMNO,” katanya.
Mohamed Khaled juga mahu UMNO dan seluruh bangsa Melayu menyambut seruan Presiden untuk bekerja bersungguh-sungguh membangunkan ketahanan bangsa melalui pendidikan dan kemahiran.
“Saya ingin tegaskan, bahawa usaha membangun ketahanan bangsa Melayu pada masa ini mesti bersandar kepada kebolehsaingan. Tiada bangsa akan berjaya tanpa kebolehsaingan.
Kita mesti menjadikan generasi Melayu lebih baik, lebih kompetitif, lebih berilmu dan lebih global, tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu kurun ke-21,” katanya.
Beliau juga Menteri Pertahanan turut memberi jaminan, tidak akan ada kompromi dalam segala hal yang melibatkan kedaulatan tanah air.
“Selain menumpukan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota, warga ATM dan golongan veteran, semua domain pertahanan nasional akan melalui transformasi dan pembaharuan secara besar-besaran tetapi terancang dalam beberapa tahun akan datang.
Semua ini adalah penting dan kritikal. Ini kerana, ancaman terhadap kedaulatan negara sangat kini hadir dalam bentuk yang sangat pelbagai, kompleks dan bersifat ‘multifacated’.
“Malah, saya dan Kementerian Pertahanan sedang meneliti secara serius pendekatan terbaik membangunkan ketumbukan dan armada digital secara besar-besaran,” katanya.
Nnnn
