KUALA LUMPUR 24 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata masih terlalu awal untuk UMNO memutuskan sama ada untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) atau sebaliknya.
Mohamad berkata kepemimpinan parti akan meneliti secara mendalam berhubung perkara itu apabila tiba masanya berdasarkan keadaan semasa parti ketika itu.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk UMNO menilai perkembangan semasa parti ketika ini untuk memutuskan perkara itu, sedangkan PRU-16 belum ditentukan tarikhnya.
“Keputusan untuk bergerak solo mahupun mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti akan diputuskan apabila tiba masanya.
“Kepemimpinan UMNO akan meneliti dan melihat (bila) sampai waktunya… sebab kita tidak boleh menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027 (PRU16). Apabila sampai masa nak PRU nanti, kita lihatlah bagaimana kekuatan parti kita,” katanya selepas mengunjungi Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 hari ini.
Semalam, Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui ucapan dasar Presiden UMNO antara lain membangkitkan persoalan mengenai langkah terbaik dalam politik semasa, sama ada mahu bergerak solo atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata sekiranya keadaan ketika itu membolehkan UMNO untuk bergerak solo, maka parti akan membuat keputusan pada waktu itu.
Kalau tidak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi PRU pun kita akan fikirkan pada waktu itu. Terpulang pada waktu itu,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata UMNO tidak mempunyai keperluan untuk bergerak secara solo pada PRU16.
Katanya, sekarang adalah masa mencari kesesuaian dalam kalangan komponen untuk memenangi pilihan raya akan datang, sekali gus dapat membentuk kerajaan.
“Masalahnya, kita jangan duduk bercerita pasal go solo ini. Sejak dulu lagi kita tak pernah solo sebab ada Barisan Nasional (BN) dan kita panggil siapa dalam parti kita?
“Kita panggil MCA, kita panggil MIC, kita panggil parti di Sarawak, di Sabah. Semua parti kita panggil duduk dalam satu gagasan yang dipanggil Barisan Nasional.
Jadi soal solo ini ialah tak wujud bagi saya. Sekarang ini kita nak cari kesesuaian siapa siaap dalam kalangan komponen kita ini yang boleh menubuhkan kerajaan dan membawa Malaysia menjadi negara progresif dari segi pemikiran,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2024.
Nnn
