PETALING JAYA 12 Ogos – Kira-kira 95,837 mangsa kerugian RM3.18 bilion dalam tempoh 2021 hingga April 2024 akibat penipuan atau ‘scam’ dalam talian, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, berdasarkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) jumlah berkenaan hanya membabitkan mangsa yang telah membuat laporan.
“Saya percaya masih ramai mangsa yang tidak melaporkan dan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Axiata Group Bhd; Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); dan CyberSecurity Malaysia (CSM) dalam memperkasakan infrastruktur keselamatan siber kebangsaan dan melawat Pusat Fusion Siber Axiata (ACFC).
Gobind berkata, statistik CSM juga menunjukkan, kes keselamatan siber meningkat dalam tujuh bulan pertama tahun ini iaitu 3,607 kes berbanding 3,327 dalam tempoh sama tahun lalu.
Kes penipuan paling tinggi direkodkan dengan 2,337 kes diikuti kod hasad (362), pelanggaran data (312), percubaan pencerobohan (240), pencerobohan (230), kelemahan sistem (69), spam (46) serta serangan penafian perkhidmatan (11).
Menyedari risiko dan ancaman serangan siber yang semakin berkembang, beliau berkata kerajaan komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam mewujudkan ekosistem siberlebih selamat dan berdaya tahan dengan meningkatkan keselamatan negara, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial untuk ekonomi dan rakyat negara ini.
“Saya juga berharap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang dipinda baru-baru ini akan dikuatkuasakan hujung bulan ini bagi meningkatkan daya saing digital Malaysia dengan memastikan pengurusan data peribadi yang selamat dalam transaksi komersial.
“Selain itu, kementerian juga bercadang supaya kita dapat menubuhkan Suruhanjaya Data hujung tahun ini meningkatkan lagi keselamatan data negara,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama awam-swasta antara Axiata, MDEC dan CSM menyaksikan ketiga-tiga organisasi itu bertindak sebagai pemudah cara utama bagi memanfaatkan digitalisasi di Malaysia.
Ketiga-tiga pihak juga bersetuju untuk mempromosikan transformasi digital, inovasi dalam keselamatan siber dan perkongsian sumber untuk mengenal pasti ancaman siber serta bekerjasama dalam mempromosikan pembangunan norma dan piawaian antarabangsa dalam keselamatan siber.
Kerjasama keselamatan siber merangkumi objektif untuk membina ekosistem teknologi digital yang mampan, selamat dan tahan lasak dalam memajukan aspirasi Digital Malaysia.
Dalam pada itu, ACFC dilengkapi dengan keupayaan pertahanan aktif dan serangan aktif, memastikan langkah keselamatan siber yang kukuh, proaktif dan pencegahan.
Gobind berkata, keselamatan siber akan terus menjadi asas dan prasyarat kritikal bagi keupayaan ekonomi digital Malaysia.
