Dua empangan utama masih susut

TANJONG 11 Ogos – Kapasiti di dua empangan utama negeri ini masih susut dan hujan sejak beberapa hari lalu dilihat masih belum cukup untuk menambah simpanan semasa air mentah di empangan berkenaan.

Bacaan semasa yang direkodkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini menunjukkan kapasiti di Empangan Air Itam menyusut 1.2 peratus kepada 30.0 peratus, berbanding 31.2 peratus direkodkan Khamis lalu.

Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti turut menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 27.4 peratus pada Khamis kepada 26.6 peratus hari ini manakala kapasiti air di Empangan Mengkuang berada pada paras normal iaitu 86.2 peratus.

Selasa lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan baki stok simpanan semasa air mentah di Empangan Muda, Kedah; Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang menyusut dan berada pada paras bahaya dengan bacaan dicatatkan masing-masing 7.44 peratus, 16.43 peratus dan 28.20 peratus, setakat 5 Ogos.

Lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang 59.99 peratus.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan berkata, lima empangan itu ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dengan 32.40 peratus, Empangan Malut, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah masing-masing mencatatkan 37 peratus, 37.02 peratus dan 53.39 peratus, serta Empangan Timah Tasoh di Perlis sebanyak 38.49 peratus.

Sebelum ini, PBAPP merayu hampir 600,000 pengguna air domestik berdaftar di negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus hingga musim hujan bulan depan, bagi mengelakkan berlakunya krisis air.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, K Pathmanathan, berkata pengurangan 10 peratus dalam penggunaan domestik akan dapat membantu menjimatkan 50 juta liter sehari.

(Foto hiasan PBAPP – Empangan Air Itam)

NNN

Related posts

Leave a Comment