Tuntut RM100 juta bukan mufliskan sesiapa

JASIN 7 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis kononnya UMNO mahu menjadikannya muflis selepas menyertai Pas.

Katanya, dakwaan bekas Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka itu muflis adalah tidak benar dan dangkal.

“UMNO bukan nak mufliskan sesiapa (sebaliknya) hanya mahu menuntut semula janji yang diberi sewaktu menandatangani perjanjian sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) pada 2021.

“Kita tidak memaksa beliau untuk tandatangan perjanjian itu tetapi beliau sendiri yang berbuat demikian kerana hendak sangat menjadi calon mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Jadi, dia (Muhamad Jailani) perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dia persetujui sebelum ini,” katanya yang mengingatkan ADUN Rembia itu supaya tidak berdalih untuk membayar saman RM100 juta kerana melompat parti.

Beliau berkata demikian selepas meraikan lawatan delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Centre on Integrated Rural Development Asia and The Pacific (CIRDAP) Ke-39 di Merlimau di sini hari ini..

Menerusi portal berita dalam talian semalam, Muhamad Jailani dilapor berkata, tuntutan UMNO sebanyak RM100 juta itu bertujuan untuk menjadikan dia muflis.

Beliau turut mengakui akan berdepan isu kewangan jika tuntutan terbabit dipenuhi, namun akan kekal dengan keputusannya menyertai Pas.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata ADUN Rembia itu dinasihatkan tidak memutarbelitkan fakta dengan dakwaan yang tidak masuk akal serta lari daripada situasi sebenar.

“Faktanya, kamu (Muhammad Jailani) yang nak tandatangan perjanjian itu tanpa ada paksaan dan kamu perlu mengambil tanggungjawab apabila melompat parti.

“Terimalah sahaja kenyataan ini dan UMNO hanya menuntut balik janji yang kita sama-sama persetujui sebelum ini.

“Bagaimanapun saya nak ucapkan kepada Jailani, `good luck’ (selamat berjaya) mengumpulkan RM100 juta daripada sekarang untuk dibayar kepada UMNO,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata UMNO akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Jailani bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang turut mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Tindakan itu sejajar perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang sudah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment