KUALA LUMPUR 17 Julai – Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada suku pertama 2025 selaras dengan pelan penggantian Aerotrain di Terminal 1 yang dijadual siap sepenuhnya 31 Januari.
Menurut Kementerian Pengangkutan, pihaknya dan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) amat komited untuk memastikan pelan penggantian Aerotrain ini berjalan lancar mengikut garis masa ditetapkan.
Kenyataan itu terkandung dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta perincian status projek penggantian aerotrain KLIA, termasuk perjanjian baharu dimeterai oleh MAHB serta anggaran kos projek berkenaan.
Kementerian Pengangkutan berkata, MAHB memeterai surat perjanjian dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd dan usaha sama bersama Pestech Technology Sdn Bhd (IJMCPestech JV) pada 12 Januari 2024 dengan jangkaan projek berkenaan siap pada 31 Mac 2024.
Bagi menyegera garis masa pelaksanaan penggantian aerotrain itu, MAHB juga menandatangani suatu perjanjian baharu bersama ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd pada 14 Jun 2024, bagi memastikan projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada tarikh berkenaan, kata Kementerian Pengangkutan.
