WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menemui bahan letupan di dalam kereta suspek penembak calon Presiden AS, Donald Trump di Pennsylvania pada Sabtu, demikian menurut laporan Wall Street Journal.
Menurut laporan itu, kereta yang dipandu suspek, Thomas Matthew Crooks, diletakkan berhampiran lokasi kempen Trump di Butler, Pennsylvania.
Media sebelum ini juga melaporkan, Perkhidmatan Rahsia AS dalam kenyataan di X menjelaskan telah menembak mati suspek penembak Trump.
“Seorang yang disyaki penembak melepaskan beberapa tembakan ke arah pentas daripada kedudukan tinggi di luar perhimpunan.
Perkhidmatan Rahsia AS segera bertindak balas dengan langkah perlindungan dan bekas presiden itu selamat dan sedang dirawat,” menurut Ketua Komunikasi agensi itu, Anthony Guglielmi.
Beliau berkata, seorang penonton maut, manakala dua lagi mengalami cedera parah.
Trump mengesahkan terkena tembakan pada bahagian telinga kanannya.
“Saya ditembak dengan peluru yang menembusi bahagian atas telinga kanan saya. Banyak pendarahan berlaku,” kata Trump di platform Truth Social.
Tembakan dilepaskan ketika kempen Trump pada Sabtu itu mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai dan penyokong yang hadir.
Selepas tembakan, Trump dilihat memegang telinga kanan, kemudian menurunkan tangannya ke bawah, sebelum melutut untuk berlindung di belakang podium.
Keadaan itu memaksa ejen Perkhidmatan Rahsia mengerumuni dan melindunginya, sebelum beliau bangun kira-kira seminit kemudian,.
