RAMALLAH: Semenanjung Gaza kini di ambang kehilangan seluruh generasi kanak-kanak, akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober lalu, demikian amaran Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA)
Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, berkata dalam satu hantaran di X, lebih 600,000 kanak-kanak di Gaza tidak dapat bersekolah sejak perang Israel bermula pada Oktober.
Beliau merujuk kepada penutupan sebilangan besar sekolah dan sekolah-sekolah UNRWA menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang hilang tempat tinggal.
“Ini bermakna jika perang ini berterusan, kita akan menghadapi risiko kehilangan seluruh generasi kanak-kanak,” katanya yang menggesa gencatan senjata, demi kanak-kanak di Gaza.
Sementara itu, di NEW YORK, UNRWA memaklumkan mereka hanya mempunyai dana yang mencukupi untuk terus beroperasi hingga September.
“Kami bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan rakan kongsi bagi memulihkan keyakinan terhadap agensi itu,” kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini.
Terdahulu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memohon bantuan dari penderma. selepas beberapa negara menghentikan pembiayaan, berikutan dakwaan Israel pada Januari lalu beberapa pekerjanya menyertai serangan 7 Oktober tahun lalu.
Lazzarini berkata, ikrar dana baharu akan membantu memastikan operasi kecemasan sehingga September.
Guterres merayu kepada penderma untuk membiayai agensi PBB, dan memberi amaran rakyat Palestin akan kehilangan talian hayat kritikal tanpa UNRWA.
“Biar saya jelaskan – tiada alternatif kepada UNRWA. Apabila kami fikir ia tidak akan menjadi lebih teruk di Gaza, entah bagaimana, sungguh mengerikan, orang awam terus menderita dalam keadaan yang semakin buruk dan tiada perikemanusiaan,” kata Guterres.
