Syrian Airlines terbang semula ke Saudi

RIYADH: Syrian Airlines, syarikat penerbangan kebangsaan Syria, menyambung semula perkhidmatan penerbangan ke Arab Saudi selepas ia digantung selama 12 tahun dengan penerbangan pertama pesawatnya itu tiba di Riyadh hari ini.

Duta Besar, Syria, Ayman Soussan berkata pesawat Syrian Airlines yang membawa 170 penumpang itu mendarat di ibu negara Arab Saudi dan menjadi simbolik pembukaan semula laluan berkenaan.

Katanya, kedua-dua negara bersetuju untuk mengendalikan satu penerbangan pergi balik setiap minggu antara Riyadh dan Damsyik selepas pergantungan tempoh masa panjang susulan perang saudara di Syria.

Pegawai Kementerian Pengangkutan Syria, Suleiman Khalil berkata laluan berkenaan itu boleh diperluaskan untuk meliputi lapangan terbang di bandar Jeddah dan Dammam Saudi serta ia bergantung kepada permintaan.

Penerbangan penumpang antara kedua-dua negara dihentikan pada 2012 apabila Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Syria susulan tindakan tegas Presiden Bashar Assad terhadap penunjuk perasaan antikerajaan pada permulaan perang saudara di negara itu.

Perkhidmatan penerbangan antara Syria dan Arab Saudi disambung semula pada Mei secara sementara untuk jemaah haji menunaikan haji di Mekah dan Madinah.

Arab Saudi bagaimanapun telah berusaha memulihkan hubungan dengan Assad.

Arab Saudi hanya menamakan duta baharu mereka ke Syria pada Mei iaitu setahun selepas kedua-dua negara berkenaan menjalin semula hubungan.

Mei tahun lalu, Presiden Syria Bashar al-Assad menghadiri sidang kemuncak Arab pertamanya dalam tempoh 13 tahun di Arab Saudi bagi memperbaiki hubungan dengan Arab Saudi dan menandakan kembalinya negara itu ke hubungan serantau.

Related posts

Leave a Comment