Tiada kemajuan gencatan senjata

BEIRUT: Rundingan perjanjian dengan Israel mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan yang dibentangkan bulan lalu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Seorang pegawai kanan Hamas berkata pelan itu yang dikatakan dicadangkan Israel termasuk gencatan senjata enam minggu disertai pengunduran Israel dari kawasan padat penduduk serta pembebasan beberapa tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang di penjara di Israel.

Mengikut laman berita AS Axios, ‘tiga sumber dengan pengetahuan langsung’, berkata Washington membentangkan ‘perenggan baharu untuk sebahagian daripada’ perjanjian yang dicadangkan.

Pada Sabtu, Osama Hamdan, seorang pegawai Hamas yang berpangkalan di Lubnan, mengesahkan bahawa gerakan Islam itu sudah menerima cadangan terbaharu pada 24 Jun lalu, namun ‘tiada elemen yang baharu’.

“Kita boleh katakan bahawa tiada kemajuan sebenar dalam rundingan untuk menghentikan pencerobohan (Israel) setakat ini”, katanya pada sidang media.

Rancangan yang dibentangkan Biden setakat ini gagal menghasilkan perjanjian, dengan kedua-dua pihak berpegang kepada tuntutan mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau akan meneruskan perang sehingga Hamas dikalahkan sepenuhnya dan semua tebusan dibebaskan.

Hamas menegaskan gencatan senjata kekal hanya boleh dibincangkan selepas pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza.

Osama berkata, cadangan itu ‘hanya membuang masa dan memberi masa tambahan untuk pendudukan (Israel) bagi teruskan pembunuhan beramai-ramai’.

Related posts

Leave a Comment