MFL turunkan denda Selangor FC kepada RM60,000

KUALA LUMPUR 27 Jun –  Selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan titah murka baginda, Malaysian Football League (MFL) mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC kerana tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Johor pada 10 Mei lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL yang bersidang semula memutuskan untuk mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000.

Dalam satu kenyataan petang ini, MFL berkata, Ahli Lembaga Pengarahnya “menggunakan budi bicara” untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

MFL turut membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Badan itu turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL susulan ketidak hadiran Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih dikekalkan tetapi jumlahnya belum ditetapkan.

“MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

“Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan,” kata MFL.

Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga hari daripada tarikh 27 Jun 2024, seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

Sementara itu, Selangor FC dalam kenyataan tetap akan membuat rayuan terhadap hukuman dikenakan ke atas mereka oleh MFL walaupun pengelola liga itu sudah mengurangkan hukumannya hari ini.

Menurut Selangor FC, hukuman ke atas mereka yang dianggap melampau sebelum ini tetap boleh melalui proses rayuan.

“Selangor FC mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat hari ini oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berkenaan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

“Untuk makluman, Selangor FC masih belum memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan,” kata Selangor FC.

Nnn

Related posts

Leave a Comment