Wakil DAP minta siasat MCA tidak undi RUU

KUALA LUMPUR 27 Jun – Seorang penyokong kerajaan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, gesaan itu bagi memastikan tiada unsur khianat terhadap RUU yang dibentangkan oleh kerajaan.

“Tan Sri Speaker, saya nak point out the fact (tunjukkan fakta). Tadi dua orang Ahli Dewan daripada MCA tidak mengundi. Jadi, saya nak minta Tan Sri untuk menyiasat sama ada dua MP (Ahli Parlimen) MCA ini sengaja boikot atau tidak.

Kalau betul mereka sengaja tidak mahu mengundi untuk pihak kerajaan, saya minta Tan Sri Speaker mempertimbangkan mengalih tempat mereka daripada sini (blok kerajaan) ke blok pembangkang,” katanya semasa membahaskan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat hanya ada dua wakil MCA iaitu Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjong Piai), kedua-duanya dari Johor.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

RUU MAVCOM (Pembubaran) 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada Isnin diluluskan melalui undi suara majoriti selepas perbahasan hangat.

Bacaan kedua rang undang-undang itu, yang dibentangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini diluluskan melalui undian blok dengan 93 menyokong, 63 menentang manakala 66 tidak hadir.

RUU itu bertujuan untuk membubarkan MAVCOM, memindahkan hak, kuasa dan dananya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kontrak sedia ada yang dibuat oleh MAVCOM akan kekal sah sehingga tamat tempoh.

Sebaik sahaja digubal, MAVCOM dan kakitangannya akan berintegrasi secara beransur-ansur ke dalam CAAM menjelang tahun depan, bertujuan untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan penerbangan awam.

Related posts

Leave a Comment