UMNO bukan parti  ‘melukut di tepi gantang.’

KIMANIS 23 Jun  – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan UMNO bukan parti ‘melukut di tepi gantang.’ apabila ia dibuktikan dengan tujuh menteri parti itu turut mengukuhkan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO juga mempunyai tujuh timbalan menteri, termasuk Timbalan Menteri Luar,  Mohamad Alamin yang juga Ketua UMNO bahagian Kimanis.

“Kita juga mempunyai tujuh timbalan menteri, termasuk Tok Moh (Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin). Malah, saya melihat beliau mempunyai potensi untuk menjadi menteri penuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Saya yakin dengan prestasi yang diperlihatkan… Tok Moh mempunyai potensi besar untuk berada di persada lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Sabah Bahagian Kimanis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kimanis, hari ini.

Selain Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, turut hadir ialah Ketua UMNO Sabah,  Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan sesebuah parti itu bagaimanapun bukan hanya terletak pada soal personaliti individu tetapi juga kebersamaan pemimpin mahupun ahli dalam kepedulian kepada rakyat.

“Saya sering berpesan tidak ada yang di atas jika tiada yang di bawah memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga menasihati ahli UMNO supaya kekal berprinsip untuk tidak melakukan sebarang rundingan ketika parti berada dalam keadaan lemah.

“Jangan berunding ketika kita lemah, sebaliknya berunding apabila kita ada kekuatan. Bina kekuatan dahulu, baru kita berunding. Insya-Allah, orang yang berunding dengan kita pasti akan bersama kita.

“Soal kita mahu bekerjasama dengan siapa, itu jangan ambil kira kerana fokus utama adalah memperkukuh parti,” katanya sambil menekankan parti yang kuat secara tidak langsung mampu membina keyakinan semua pihak, termasuk pengundi.

Ahmad Zahid juga optimis, UMNO mampu kembali dominan dalam arena politik Sabah berdasarkan kepada sokongan padu serta keyakinan diberikan oleh ahli-ahlinya, yang dilihat sepanjang merasmikan empat mesyuarat bahagian UMNO di negeri itu, sejak semalam.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin UMNO Sabah supaya tidak hanya menggunakan kebijaksanaan dalam merangka strategi, tetapi juga memberi sepenuh komitmen bagi menebus dan mengembalikan semula maruah parti dalam PRN akan datang.

Beliau turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO supaya sentiasa istiqamah dengan perjuangan dan berpendirian teguh serta mengutamakan parti.

“Jangan pernah jadi lalang. Mesti ada pendirian. Kita utamakan parti dahulu. Soal tawaran itu kemudian,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment