PETALING JAYA 22 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan meneroka perniagaan baharu dalam usaha memperkasakan lagi sektor koperasi dan ekonomi negara, kata Presidennya, Dr Abdul Fattah Abdullah.
Bagi tujuan itu, katanya, Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-38 (MAPA 2024) meluluskan cadangan peruntukan RM30 juta, yang antara lain akan melaksanakan Projek Pembangunan Perniagaan Koperasi dan Projek Keterjaminan Makanan yang meliputi kategori tanaman, ternakan dan perikanan.
“Dunia sekarang menghadapi isu perubahan iklim, kita lihat banyak negara yang sepatutnya keluarkan bahan makanan dilanda kemarau, banjir, peperangan yang mengakibatkan bekalan makanan tidak boleh dikeluarkan.
“Jadi, perkara ini menjadi halangan dan cabaran besar kepada ketidakcukupan bekalan bahan makanan di dalam negara kita.
ANGKASA bersama koperasi mengambil inisiatif untuk melihat perkara ini dengan lebih serius supaya kita dapat terlibat dalam bidang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada MAPA 2024, di sini hari ini.
Abdul Fatah berkata, cadangan perniagaan baharu lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat hari ini termasuk Projek Inkubator Pusat Pemprosesan Coklat Bean to Bar dan Projek Inkubator Lembu Pedaging Fasa 1: Pusat Kuarantin Lembu.
Selain itu, Kemudahan Kredit Pusingan bagi tujuan pengembangan projek dan pinjaman daripada ANGKASA kepada MyAngkasa Holdings Sdn Bhd bagi penubuhan 10 pusat dialisis baharu.
