Putra dakwa Duta Online promosi politik

SEPANG 15 Jun –  Putra membantah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik 200 ‘Duta Online’, yang didakwa akan menggunakan dana awam secara tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan Putra Shahrulufti Sharif mendakwa pelantikan ini akan menguntungkan kalangan tertentu, khususnya DAP dan Pakatan Harapan (PH) yang menimbulkan kebimbangan serius tentang penyalahgunaan dana untuk politik.

“Alasan untuk menangani fitnah dan berita palsu tidak dapat diterima sebagai kebenaran untuk pengeluaran yang tidak perlu. Sudah cukup banyak agensi kerajaan yang memiliki pegawai untuk tujuan yang sama.

Putra menuntut agar setiap sen yang dibelanjakan memberikan manfaat nyata kepada rakyat, bukan digunakan untuk agenda tersembunyi atau promosi politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam KPKT mengumumkan 200 kakitangan KPKT telah dipilih sebagai Duta Online untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Menterinya Nga Kor Ming berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat.

“Sentuhan maya ini diwujudkan untuk membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan polisi kerajaan dengan lebih efektif,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Bengkel Sentuhan Maya KPKT.

Nga turut menggalakkan ahli-ahli pasukan Duta Online untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan tidak membosankan.

Susulan itu, Gerakan, parti komponen Perikatan Nasional (PN) mengkritik tindakan KPKT tersebut dan menganggap ia satu pembaziran dana awam yang serius dan menasihatkan KPKT tidak berselindung dan memutar belit tujuan penubuhan.

Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, dalam situasi ekonomi semasa, kerajaan seharusnya memberi tumpuan pada penyelesaian masalah rakyat dan bukan membuang dana besar pada projek yang tidak menepati keperluan rakyat.

“Apakah masalah tanah dan bangunan tidak siap telah diselesaikan? Ramai rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah kerana harga rumah sangat melampau. Apakah status terkini rumah PR1MA?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa Duta Internet yang kononnya menyampaikan maklumat yang betul tetapi sebenarnya apabila ditafsir ia adalah usaha kerajaan untuk mengawal pendapat umum dan mungkin menjadi “tentera siber” menggunakan cukai rakyat untuk menekan suara berbeza dan menyembunyikan kebenaran.

Gerakan menasihatkan Kor Ming supaya mengubah pemikirannya seiring dengan jawatan yang disandang sebagai menteri KPKPT bukan di takuk pembangkang lagi.

Dominic juga berkata, kerajaan seharusnya berkomunikasi dengan cara yang telus dan terbuka dengan orang ramai dan jangan bertindak mengawal perbezaan pendapat awam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment