1.2 juta jemaah tiba di Arab Saudi

RIYADH: Lebih 1.2 juta jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba di Arab Saudi setakat ini bagi musim haji 1445H, kata Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, seperti dilaporkan Saudi Press Agency (SPA).

Bercakap pada sidang media, Dr Al-Rabiah, berkata jemaah berkenaan dilaporkan telah melengkapkan prosedur kemasukan ke negara itu dengan mudah selain mempunyai keadaan kesihatan yang baik serta tahap kepuasan yang tinggi.

Beliau menyatakan kejayaan itu adalah hasil ‘pertolongan Allah’ diikuti oleh ‘sokongan tanpa had kepemimpinan yang bijaksana’ dan ‘usaha ikhlas wira-wira sektor yang berkhidmat kepada jemaah’.

Dr Al-Rabiah menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi untuk berkhidmat kepada jemaah, didorong oleh arahan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi serta Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Tahap penjagaan tertinggi disediakan bagi jemaah, termasuk untuk memudahkan ketibaan mereka ke dua masjid suci dan tempat suci serta melaksanakan ibadah dengan mudah.

Beliau berkata perkara itu dimanifestasikan melalui persiapan awal termasuk meneliti semula perancangan, projek dan inisiatif, sejak berakhirnya musim haji 1444H.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk semua jemaah mematuhi peraturan dan arahan bagi memastikan pengalaman haji yang lancar dan memuaskan.

Di samping itu, kempen antarabangsa yang merangkumi lebih 20 negara mendidik jemaah tentang bahaya melanggar peraturan haji, amalan penipuan dan kempen palsu serta kempen nasional, ‘Tiada Haji Tanpa Permit’ mengukuhkan peraturan dan memastikan pengalaman haji yang lancar dan teratur bagi semua jemaah.

Inisiatif Laluan Makkah, yang beroperasi di tujuh negara melalui 11 lapangan terbang juga telah memudahkan ketibaan lebih 250,000 jemaah tahun ini.

Related posts

Leave a Comment