KUALA LUMPUR 2 Jun – Lebih 1.8 juta pengunjung direkodkan sepanjang 10 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron, berkata jumlah itu melepasi sasaran awal penganjur yang sebelum ini menjangkakan kehadiran 1.5 juta pengunjung dalam tempoh berkenaan.
Mohd Khair, berkata kehadiran pengunjung yang memberangsangkan itu disokong oleh promosi menarik ditawarkan oleh pemain industri selain daripada judul buku baharu yang meraih perhatian pengunjung untuk mendapatkannya.
Katanya, pemain industri juga kini dilihat semakin bijak dalam menarik perhatian pembaca untuk datang apabila turut membawa penulis di reruai bagi beramah mesra dengan pengunjung.
PBAKL ke-21 itu berakhir hari ini dengan majlis penutup dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,
PBAKL yang membuka tirai sejak 24 Mei lalu diadakan secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.
Antara objektif penganjuran PBAKL adalah memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti berkaitan dengan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku di negara ini.
PBAKL 2024 adalah program Kementerian Pendidikan (KPM) anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Dewan Industri Buku Malaysia (MBIS) sebagai penganjur utama.
PBAKL pada tahun ini mempunyai 972 reruai yang terbabit dengan 241 pempamer termasuk 14 pempamer dari luar negara antaranya dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.
