KUALA LUMPUR 31 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kejadian anggota pengiring orang kenamaan didakwa memukul seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) di KL Sentral pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, siasatan berkenaan dibuat berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi.
“Pegawai-pegawai yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
“Langkah ini diambil untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah,” katanya.
Beliau berkata PDRM komited untuk memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak-hak individu yang terjejas terutama golongan OKU.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian berkenaan.
“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.
