2 ditahan, 38.8kg syabu RM1.2juta dirampas

SEPANG 31 Mei –  Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas 38.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam.

Suspek yang dipercayai keldai dadah berusia 34 tahun itu ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan bantuan polis bantuan Malaysia Airports kira-kira pukul 4 pagi.

Lelaki itu ditahan ketika dia membawa dua bagasi berisi 37 bungkusan plastik disyaki syabu sebelum seorang lagi suspek berumur 36 tahun yang disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah hotel berdekatan.

Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan berkata kedua-dua supek adalah duda bekerja sebagai juruteknik manakala seorang lagi penganggur, di mana kedua-duanya mempunyai rekod ke Sarawak dari klia2 sebanyak tujuh kali sejak Mac lalu.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis KLIA di sini hari ini, beliau berkata polis  tidak menolak kemungkinan mereka melakukan kegiatan sama sebelum ini dan siasatan sedang dilakukan.

“Mereka diberikan tiket kapal terbang dan juga penginapan di sekitar KLIA, jadi kerja mereka datang dalam dua atau tiga hari dan mereka diberikan beg berisi dadah untuk dibawa ke Sarawak. Di Sarawak, ahli sindiket akan tunggu di tempat penyerahan,” katanya.

Selepas penahanan suspek pertama, polis menyerbu bilik hotel berhampiran di mana suspek kedua ditahan.

Menurut beliau, semakan Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah dan kedua-duanya positif dadah methamphetamine.

“Suspek menerima upah RM2,500 bagi setiap perjalanan membawa dadah manakala dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di Miri, Sibu dan Bintulu di Sarawak,” katanya.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM600.

Hussein berkata, dadah berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran di utara Semenanjung.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.

(Foto Fb Polis Selangor)

Related posts

Leave a Comment