Dua pegawai kanan polis didakwa rasuah RM1.25 juta

KUALA LUMPUR 28 Mei – Dua pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini selepas didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Khiam Kong, 54 dan Suhairon, 42 didakwa sebagai pegawai badan awam secara bersama bersetuju dan menerima wang suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan membantu menutup siasatan kes jenayah lelaki berkenaan.

Khiam Kong juga berdepan tuduhan bersetuju dan menerima suapan RM250,000 daripada individu itu bagi menutup siasatan kes komersial.

Kesalahan didakwa dilakukan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada 8, 18 dan 19 April lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Ia dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata, kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan membabitkan amaun lebih RM1 juta dan cadangan jaminan dan syarat pasport adalah munasabah.

Bagaimanapun, peguam bela Khiam Kong, Jacky Loi Yap Loong, memohon anak guam dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan serahan pasport.

Katanya , Khiam Kong sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai empat anak berusia 18, 23, 25 dan 27 tahun.

Peguam bela Suhairon, Ridha Abdah Subri, pula mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin terhadap anak guamnya yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dengan PDRM dan memberi kerjasama sepanjang siasatan.

“Isteri Suhairon tidak bekerja, manakala empat anak mereka masih bersekolah dengan yang bongsu berusia tujuh tahun. Anak guam juga perlu menanggung ibu bapa berusia 80 tahun yang dalam keadaan uzur di kampung.

“Keluarga hanya mampu mengumpul RM15,000 dan percaya amaun itu adalah selari serta konsisten untuk memastikan kehadiran di mahkamah,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin kepada setiap tertuduh, selain syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, memaklumkan tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintendan dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.

Dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Berikutan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.

Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment