Tujuh kenderaan rosak dihempap pokok

PUCHONG 27 Mei – Sebanyak tujuh buah kereta di kawasan parkir di Taman Kinrara di sini rosak dihempap pokok susulan hujan lebat dan ribut, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.24 petang.

Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh lapan kilometer.

“Komander operasi melaporkan sebatang pokok tumbang telah menghempap tujuh buah kereta.

“Kerja-kerja untuk mengalihkan pokok tersebut sedang dijalankan, tiada mangsa terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, antara kenderaan yang terlibat adalah Honda City, Lexus NX30, Proton Waja dan Proton Persona.

Related posts

Leave a Comment