SEPANG 26 Mei – Anwar Ibrahim sepatutnya memberi penjelasan terperinci mengenai langkah-langkah yang akan diambil kerajaan untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri tidak memberikan penjelasan bagaimana isu beban kos sara hidup akan ditangani secara tuntas akibat penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata, kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah satu kebimbangan yang berasas, susulan pengumuman penyelarasan semula subsidi diesel oleh Perdana Menteri.
Bagaimanapun Anwar tidak menjelaskan secara terperinci kesan penarikan balik subsidi diesel dan RON 95 ke atas seluruh rantaian bekalan serta langkah-langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya.
Dalam Perutusan Negara yang disampaikan Selasa lepas, Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tiada penjelasan terperinci bagaimana hasil penjimatan subsidi sebanyak RM4 bilion itu akan dibelanjakan.
“Berapa banyak nilai bantuan yang akan dinaikkan untuk manfaat rakyat? Siapa yang akan menerimanya? Rakyat ingin tahu apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil penjimatan subsidi,” katanya.
Menurut Muhyiddin, ramai secara sinis menyinggung Perdana Menteri yang dahulunya berjanji akan menurunkan harga minyak tetapi realitinya tidak malahan. menarik balik subsidi yang akan menyebabkan kenaikan harga minyak.
“Sebab itu semasa berucap di Parlimen pada bulan Mac yang lalu, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi diesel dan petrol.
Ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan langsung ke atas beban kos sara hidup.
Apatah lagi kerajaan baharu sahaja melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik pada bulan Januari 2024, cukai barang bernilai rendah pada bulan Januari 2024, kenaikan tarif air pada bulan Februari 2024 dan kenaikan cukai SST pada bulan Mac 2024.
Semua ini ibarat beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa. Apabila subsidi diesel dan kemudiannya RON 95 ditarik balik, kesannya akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Muhyiddin yang tidak yakin Perdana Menteri tahu apa yang perlu dibuat juga mendakwa, Anwar tidak prihatin terhadap keluhan rakyat dengan meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ketika rakyat sedang susah.
“Yang diumumkan ialah bantuan akan diberikan kepada beberapa golongan pemilik kenderaan tertentu. Berapa ramai yang akan menerima bantuan dan berapa nilai bantuan tidak dijelaskan dengan terperinci,” katanya.
Muhyiddin juga menyifatkan, angka-angka ekonomi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat di bawah.
Beliau juga mendakwa rata-rata rakyat masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup.
“Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 tidak ditangani dengan cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak,” katanya.
Nnn
