KUALA LUMPUR 26 Mei – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyarankan Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan penuh kepada usaha mengembalikan kestabilan ekonomi yang ketika ini terus menekan rakyat.
Ku Li, bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu menyifatkan punca utama ekonomi negara makin meruncing adalah disebabkan kemerosotan daya pengeluaran negara yang membawa kepada tekanan inflasi.
“Kita banyak bergantung kepada import, sekiranya barangan yang diimport dapat dikurangkan, mungkin ia dapat redakan sedikit tekanan.
“Selain itu, soal gaji dan upah turut perlu (diberi perhatian). Kalau kita dapat kurangkan guna tenaga yang dibayar dengan upah rendah dari negara jiran (pekerja asing), mungkin gaji (pekerja tempatan) dapat dinaikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada dialog ‘Sebenar di Sebalik Ku Li: Memoir 205’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.
Acara yang dikemudi Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, itu turut menampilkan penulis Ku Li: Memoir 205, Zinitulniza Abdul Kadir dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Dr Abdul Aziz Rahman.
Menurut Ku Li, reformasi ekonomi perlu dilakukan bukan hanya di peringkat kerajaan tetapi menyeluruh, termasuk sektor swasta.
“Ini perlu dilakukan supaya kita dapat lebarkan pengedaran wang kepada seluruh rakyat, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Melaluinya, saya rasa kita boleh betulkan (isu) kadar tukaran tukaran wang yang sedang dihadapi sekarang.
“Ringgit Malaysia (RM) jatuh teruk sekali, saya rasa itu pun perlu (tindakan) segera pemerintah. Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tetapi mesti dilakukan sekarang,” katanya.
Beliau bagaimanapun turut memuji usaha penyasaran semula subsidi yang diperkenalkan kerajaan dan menyifatkan ia sebagai satu ‘jalan keluar’ bagi mengelakkan tanggungan hutang lebih besar.
Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tenat, dengan hutang yang banyak adalah wajar kerajaan mencari jalan supaya yang patut menikmati, dapat merasai manfaatnya.
Beliau berkata, apa yang berlaku selama ini, disebabkan subsidi begitu banyak diberikan kerajaan dan berlaku kebocoran, ia turut dinikmati rata-rata orang luar dari negara kita termasuk Singapura dan Thailand.
“Saya rasa sesuatu yang bukan mudah untuk ditadbirkan (kebocoran subsidi) tetapi niat dan usaha ditunjukkan pemerintah pada masa ini baik, sama ada berjaya atau tidak, kita tunggu tengoklah (nanti),” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui pengenalan cukai baru, menaikkan tarif letrik dan air akan menambah beban rakyat.
Nnnn
