PUTRAJAYA 15 Mei – Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.
Demikian pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara dengan Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha semalam.
Anwar menjelaskan bahawa beliau akan hanya mengesyorkan demikian jika pandangannya diminta oleh Seri Paduka tetapi tidak akan melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong itu.
“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, Tuanku, lalui proses itu,” katanya dalam slot khas ‘In Conversation With the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin sebagai moderator.
Perdana Menteri berpendirian, semua pihak harus menumpukan kepada prosiding kes 1MDB yang sedang berjalan, berbanding isu tahanan rumah untuk Najib seperti dibangkitkan mutakhir ini.
“Akhirnya Agong yang akan membuat keputusan. Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal menjalani hukuman di penjara sepanjang rayuannya didengar, namun berhak mengemukakan rayuan pengampunan dan hak yang sama juga wajar melibatkan seluruh rakyat.
“Sudah tentu dia ada hak untuk kemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan. Saya nasihatkan Agong supaya pertimbang juga proses (rayuan) ini dalam semua kes yang melibatkan rakyat Malaysia, yang memohon (pengampunan),” katanya.
Najib, 70, pada 1 April lalu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO di Country Heights, Kajang, pada 30 Januari lalu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Nnnn
