DOHA 14 Mei – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan bagi Malaysia mewujudkan kasino kedua untuk membantu meningkatkan pendapatan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kini menumpukan sektor transformasi digital, peralihan tenaga serta kecerdasan buatan (AI) yang memadai untuk mendorong pertumbuhan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pentadbiran Kerajaan Madani akan menerima kewujudan kasino kedua atau menolaknya ketika slot khas ‘In Conversation With the Prime Minister of Malaysia’ sempena Forum Ekonomi Doha (QEF) 2024 di sini, hari ini.
Sesi itu dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin sebagai moderator.
Sebelum ini, Anwar menafikan kerajaan mempunyai sebarang perancangan bagi membuka kasino di Forest City, Iskandar Puteri Johor.
Ia susulan laporan media antarabangsa, Bloomberg yang menyatakan Anwar mengadakan pertemuan bersama Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk membincangkan perkara itu.
Malaysia telah memberikan hanya satu lesen kasino, yang dikeluarkan kepada Genting pada 1969. Syarikat itu juga mempunyai operasi kasino di United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
Nnn
