HULU SELANGOR 11 Mei – Sama ada Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) atau terlepas kepada Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan oleh 39,362 pengundi hari ini.
Mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang, sebanyak 18 pusat mengundi, mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka, kecuali di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup pukul 2 petang.
Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.
DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada Selasa, 7 Mei lalu, sebanyak 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab p sebagai pengundi awal.
PRK yang diadakan susulan kematian penyandang, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kesemua calon tidak akan turun mengundi esok kerana merupakan pengundi luar.
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi 4,119.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengingatkan pengundi untuk membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pengundi perlu menunjukkan kad pengenalan kepada kerani pengundian pertama (KP1), di tempat mengundi masing-masing.
Beliau berkata, sebelum itu pengundi boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, menghubungi talian SPR di 03-88927218 atau melalui aplikasi MySPRSemak.
“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Selain itu, Ikmalrudin berkata, penggunaan telefon bimbit di saluran tidak dibenarkan dan pengundi, calon serta petugas yang ingin memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon yang bertanding.
“Kegagalan pengundi mematuhi peraturan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.
Beliau memberitahu, semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi, kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
SPR menugaskan seramai 760 orang petugas pada PRK berkenaan.
Nnnn
