PUTRAJAYA – Negara kehilangan sejumlah RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu yang seharusnya diselamatkan dan digunakan untuk membantu rakyat dan meningkat infrastruktur awam seperti membaiki sekolah dan hospital.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata kerugian itu adalah berdasarkan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun 2018 hingga 2023.
“Kalau dibahagi lima, puratanya lebih kurang RM55 bilion setahun. Jadi jumlah ini yang kita semua perlu selamatkan,” katanya pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini..
Majlis peluncuran itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, NACS yang dilancarkan hari ini perlu memberi impak dan dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan metodologi bagi mengenal pasti bidang-bidang yang terdedah kepada risiko terkini rasuah dalam negara.
Antaranya adalah melalui dapatan penyelidikan sektor-sektor yang cenderung kepada rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran serta tatakelola yang telah dibentangkan dalam Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah, tahun lalu,” katanya.
NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang berakhir pada Disember 2023.
Ia menggariskan lima strategi melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.
Nnnn
